Rabu, 06 Maret 2013

Tujuan Dari Ibadah Yang Sebenarnya Adalah Untuk Mendidik


Ibadah Itu Sebenarnya Bertujuan Untuk Mendidik

Setiap ibadah itu, apakah ibadah lahir yang terangkum di dalam syariat, ibadah batin atau ibadah hati yang terangkum di dalam Tauhid dan Tasawuf, ianya bertujuan untuk mendidik. Ia makanan untuk jiwa. Ia dapat membina dan memberi kekuatan kepada jiwa. Ia bisa menambah taqwa. Supaya ibadah itu dapat mendidik, harus ada disiplinnya yakni harus ada ilmunya, difahami, diyakini dan dihayati. Ilmu itu benda mati. Faham itu adalah kalau ilmu dapat mencetuskan rasa. Yakin itu kalau pegangan kuat dan tidak goyang dan penghayatan itu apabila hati , roh dan jiwa ikut bersama-sama dalam beribadah.


Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu, kita tidak akan pernah tahu cara yang benar untuk beribadah dan tanpa ilmu, ibadah kita pasti akan ditolak. Allah tidak menerima ibadah yang dikerjakan tanpa ilmu.

Faham lebih penting lagi sebab faham itulah hikmahnya.Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Kalau tidak faham, batin atau roh ibadah akan rusak. Yakin perlu supaya hati kita tidak dilanda syak, ragu, zan dan waham yang akan merusakkan ibadah kita.

Puncak dari ilmu, faham dan yakin itu adalah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu, faham dan yakin betul-betul menjadi ruh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita. Apabila sesuatu ibadah itu sudah dihayati. Maka ibadah itu akan menjadi sumber didikan, sumber kekuatan jiwa dan akan menambah taqwa.

Solat contohnya, yang merupakan tiang agama dan ibu dari segala ibadah adalah satu modul didikan dan latihan jiwa yang lengkap.Segala unsur keinsanan terlibat dalam solat termasuk anggota lahir, lidah, akal dan hati. Kalau solat dapat dikerjakan dengan khusyuk, tawadhuk dan khuduk dan dapat difahami, dihayati dan dijiwai segala apa yang dibaca dan dilafazkan, maka akan timbul rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita.Rasa bertuhan adalah rasa Allah sentiasa melihat, mengawasi dan mengetahui tentang diri kita. Rasa Allah Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya dan sebagainya. Rasa kehambaan pula, adalah rasa hina, bersalah dan berdosa di sisi Allah. Rasa lemah, dhaif dan menggantung harapan kepada Allah.

Rasa bertuhan akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam hati kita.Rasa kehambaan pula akan memusnahkan dan membakar sifat-sifat keji atau mazmumah dari hati kita. Solat yang sempurna dan lengkap lahir batinnya akan menjadikan kita orang yang kuat keyakinan, kuat iman, baik akhlak, disiplin, bersih lahir dari maksiat dan kemungkaran, kuat syariat dan bersih jiwa dari sifat-sifat keji dan tercela.

Begitu juga puasa. Kalau dilaksanakan berserta ruhnya dan ada penghayatannya, jiwa kita yang jahat dapat dipulihkan. Mazmumah dipulihkan kepada mahmudah. Kegelisahan dipulihkan kepada ketenangan. Fitrah dapat dikembalikan semula kepada keadaan asal semulanya yang suci dan tenang.

Zakat pula sepatutnya dapat mengongkong sifat-sifat tamak dan bakhil. Zakat, kalau dihayati bisa menyembuhkan penyakit cinta dunia dan mendatangkan rasa belas kasihan dan kasih sayang terhadap fakir dan miskin.


Kenapa selama ini ibadah tidak mendidik kita?


Sebab pertama ialah kerana selama ini kita diberi ilmu tentang ibadah hanya yang bersangkut-paut dengan hukum-hakamnya saja yaitu tentang syarat, rukun, sah dan batalnya saja. Oleh karena itu dalam ibadah, itulah perkara yang sangat-sangat kita jaga dan tidak lebih dari itu. Ilmu lain tentang ibadah termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman tidak diajar. Penghayatan tidak diajar. Hasilnya segala ibadah yang kita kerjakan,walaupun sah dan cukup syarat rukunnya, tetapi tidak dapat dihayati.

Apabila ibadah tidak dihayati, maka rugilah kita kerana ibadah kita itu tidak mendidik kita. Hati kita tidak berubah walaupun kita sudah beribadah berpuluh-puluh tahun lamanya malahan sepanjang hidup kita. Ibadah kita tidak menjadi makanan bagi jiwa. Ia tidak membentuk dan menguatkan jiwa kita. Ia tidak menambahkan taqwa kita. Lebih malang lagi, ibadah kita itu tidak sampai kepada Allah.

Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini tidak langsung menyentuh soal roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak sembahyang, ibadah dan sembahyang mereka tidak memberi apa-apa kesan di dalam diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah dan sembahyang selalunya menjadi beku,pasif dan tidak produktif.

Kedua adalah kerana kebanyakan orang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Allah. Oleh sebab itu ibadah mereka tidak memberi kesan. Ibadah seperti sembahyang bukanlan untuk mengajar atau memahamkan manusia tentang Allah. Manusia sepatutnya sudah punya ilmu dan sudah faham tentang Allah sebelum mereka beribadah atau sebelum mereka sembahyang. Ibadah dan sembahyang itu hanya untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Allah sebab manusia itu sering lupa.

Ibadah dan sembahyang hanya akan memberi kesan kepada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Allah. Orang yang tidak faham pada Allah, ibadah dan sembahyangnya tidak ada arti apa-apa. Dia tidak akan dapat merasa bertuhan dalam ibadahnya kerana dia tidak tahu dan tidak faham akan Allah. Itu sebab sebelum kita bersyariat, Tauhid kita harus sudah selesai di pelajari dahulu.  


=== bersambung ===

Tidak ada komentar:

Posting Komentar