Rabu, 20 Februari 2013

Amalan Taqwa


Amalan taqwa pula bukan sekedar apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan sembahyang saja. Bukan sekadar membaca Quran atau wirid dan berzikir sambil menggentel biji tasbih. Bukan juga bersuluk dan beruzlah menjauhkan diri dari orang ramai. Amalan taqwa bukan sahaja di surau atau di masjid.


Amalan taqwa adalah apa saja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat apakah yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa saja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan apakah yang haram atau makruh yang dilakukan berserta rohnya yaitu ada batinnya, penghayatan dan penjiwaannya. Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, roh terhubung dengan Allah, dikerjakan kerana Allah dan mengikut cara yang Allah kehendaki.

Ini termasuk segala perkara yang terjadi dalam kehidupan baik dalam kehidupan sehari hari, dalam bidang ekonomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, ketenteraan, kesehatan dan sebagainya. Asalkan apa yang dilakukan atau yang ditinggalkan itu berkait dengan Allah maka itulah amalan taqwa. Amalan yang tidak berkait dan tidak dilakukan kerana Allah, itu adalah amalan bangkai yang tidak ada nyawa, jiwa atau rohnya. Ia tidak sampai kepada Allah dan tidak ada apa-apa nilai di sisi-Nya.

Berbicara bisa menjadi taqwa kalau apa yang dicakapkan itu adalah ilmu, nasihat atau perkara-perkara yang baik dan manfaat dan dibuat kerana Allah. Diam juga bisa menjadi taqwa kalau diam itu untuk mengelakkan dari berkata-kata perkara maksiat dan sia-sia atau supaya tidak menyakiti hati orang dan dibuat kerana Allah.

Dalam Islam, disamping ibadah lahir, ada banyak ibadah batin atau ibadah bersifat rohaniah. Ibadah lahir banyak syarat rukun dan sah batalnya. Tetapi ibadah batin tidak mengira tempat, waktu, masa, suci atau berhadas, haul atau nisabnya. Ia bisa dilakukan kapan saja. Ini termasuk bertafakur, muhasabah diri, musyahadah, mujahadah, bertaubat, merintih kepada Tuhan, sabar dalam menanggung sakit, ujian, musibah, cacian, kehinaan dan makian orang, menyuburkan rasa-rasa berTuhan dan rasa kehambaan dan berzikir di hati. Ini semua adalah amalan rohani yang bisa menghasilkan taqwa.
=== bersambung ===

Tidak ada komentar:

Posting Komentar