Menjadi seorang muslim atau seorang Islam belum lagi dapat jaminan dari Allah. Allah belum jadi pembela. Menjadi orang Islam semata-mata belum ada jaminan dari Allah akan diampunkan dosanya. Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan dari Allah amal ibadahnya akan diterima. Menjadi orang Islam sahaja belum ada jaminan yang Allah akan memberi bantuan. Menjadi seorang muslim atau seorang Islam itu mudah. Apabila mengucap dua kalimah syahadah maka tetaplah seseorang itu Islam. Dia tidak boleh dianggap kafir. Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu sudah sembahyang, berpuasa dan naik haji, kita tidak boleh menuduh orang itu kafir. Dia termasuk dalam golongan orang Islam tetapi belum tentu dia seorang beriman atau bertaqwa.
Setelah menjadi orang bertaqwa baru ada jaminan dan pembelaan dari Allah di dunia dan juga di Akhirat.Bila jadi orang bertaqwa barulah dosa diampunkan. Bila jadi orang bertaqwa barulah amal ibadah diterima. Bila jadi orang yang bertaqwa barulah dapat pimpinan dari Allah. Secara langsung Allah jadi pemimpinnya. Bila menjadi orang yang bertaqwa, rezeki datang tidak tahu mana sumbernya. Bila menjadi orang yang bertaqwa, Allah permudahkan urusan dan kerja-kerjanya. Buat kerja sedikit hasilnya banyak. Kalau buat banyak, lebih banyaklah hasil yang akan diperolehi. Ini telah pun dijelaskan oleh Allah melalui beberapa firman-Nya seperti berikut:
"Wamai yattaqillaha yaj`allahu makhroja. Wayarzuqhu minhaithu layahtasib."
Maksudnya: " Barangsiapa yang bertaqwa pada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya." (At Thalaq:2-3)
Di sini Allah berkata `barangsiapa yang bertaqwa` bukan `barangsiapa yang Islam`.
"Wamai yattaqillaha yaj`allahu min amrihi yusro"
Maksudnya: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya." (At Thalaq:4)
Sekali lagi Allah berkata `barangsiapa yang bertaqwa` bukannya `barangsiapa yang Islam`. Kalau buat kerja sedikit, akan dapat hasil banyak.
"Wallahu waliyul muttaqin".
Maksudnya: "Allah menjadi pembela bagi orang-orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah:19)
Jelas sekali orang bertaqwa Allah akan bela dan bantu secara langsung. Dalam ayat ini juga Allah tidak menyebut menjadi pembela dan pembantu bagi orang Islam sebaliknya menjadi pembela dan pembantu bagi orang yang bertaqwa.
"Innama yataqabbalullahu minal muttaqin"
Maksudnya: "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa." (Al Maidah:27)
"Walau anna ahlal qura amanu wattaqau lafatahna `alaihim barokatim minassama iwal ard" .
Maksudnya:" Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi." (Al A`raf:96)
Jelas Allah berkata ` beriman dan bertaqwa` bukannya setakat `Islam`. Kalau beriman dan bertaqwa, Allah akan buka berkat dari langit dan bumi. Maka sudah tentunya kehidupan orang bertaqwa akan aman damai, berkasih sayang, mesra, selamat sejahtera, tidak ada gangguan, penuh harmoni dan indah. Di dunia lagi sudah dapat Syurga yang didahulukan dan pastilah di Akhirat akan menanti Syurga hakiki yang kekal abadi.
Banyak lagi ayat-ayat yang memberitahu kita bahawa setelah seseorang atau sesuatu bangsa itu menjadi orang atau bangsa yang bertaqwa, barulah akan dapat pembelaan dari Allah. Kalau hanya setakat Islam, tidak ada jaminan akan dapat pembelaan dari Allah di dunia mahupun di Akhirat. Inilah yang berlaku kepada seluruh umat Islam di dunia hari ini. Rata-rata umat Islam adalah orang muslim atau orang Islam dan bukan orang yang bertaqwa. Sebab itu tidak ada pembelaan dari Allah.
Bila tidak ada pembelaan dari Allah, lihatlah apa yang sedang berlaku pada umat Islam. Hidup tidak bersatu padu, musuh menekan, hina dina, miskin, mundur, merempat, menjadi hamba orang, susah dan tersingkir di mana-mana. Bilangan mereka ramai tetapi tidak berguna macam buih di laut. Walaupun buih sebesar gunung, mancis api jatuh pun ia boleh berkecai. Umat Islam dikeronyok di mana-mana oleh musuh kafir macam anjing mengkeronyok bangkai. Umat Islam tidak ada daya upaya untuk melawan dan mempertahankan diri.
Jadi, sekadar menjadi seorang yang Islam sahaja kita tidak boleh berbangga sebab masih belum ada jaminan dan pembelaan dari Allah.Oleh itu kita mesti jadi orang yang bertaqwa. Barulah jaminan dan pembelaan dari Allah akan diperolehi sama ada di dunia dan di Akhirat.
Hendak mendapat bantuan dan rahmat Tuhan, Tuhan sebut di dalam Al Quran, "Wamai yattaqillah" . Ertinya kita kena bertaqwa. Ada tiga peringkat orang yang baik hubungannya dengan Allah.
1. Soleh
2. Taqwa
3. Siddiqin
Tetapi Tuhan ambil yang tengah iaitu orang yang bertaqwa untuk diberi bantuan. Tuhan tidak janjikan bantuan kepada orang soleh kerana rendah sangat. Tuhan tidak janjikan bantuan kepada orang siddiqin kerana mungkin tinggi sangat. Tidak ramai nanti yang akan mendapat bantuan kerana orang siddiqin itu sedikit. Namun orang soleh mendapat bantuan Allah bersandarkan kepada orang yang bertaqwa.
Senjata umat Islam yang utama untuk menjayakan perjuangan mereka ialah iman dan taqwa. Inilah satu-satunya senjata yang tidak ada pada orang kafir. Dengan senjata ini sahajalah kita boleh kalahkan orang-orang kafir atau munafik yang hendak menghancurkan kita dan musuh batin kita iaitu nafsu dan syaitan.
Selain taqwa, dengan kekuatan apa sekalipun, baik ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi, ketenteraan dan senjata, pasti kita tidak akan mampu menentang kegagahan musuh-musuh Allah yang jauh lebih hebat dari kita.
Taqwa adalah faktor paling utama dalam memperolehi bantuan Allah SWT. Bantuan Allah kepada orang yang bertaqwa ini berbagai bentuk yang tidak diketahui oleh manusia. Lazimnya bentuk bantuan yang Allah datangkan itu mengikut keperluan semasa dan mengikut peranan seseorang. Ertinya bantuan Allah bagi orang bertaqwa itu berbeza menurut keperluan dan peranan. Bagi pendakwah yang bertaqwa, bantuan yang Allah turunkan berbeza dengan pemimpin yang bertaqwa. Dan bantuan itu berbeza pula dengan ahli perniagaan atau seorang pendidik yang bertaqwa.
Kalau dalam medan perang, Allah bantu dengan menurunkan para malaikat beribu-ribu banyaknya untuk mengalahkan orang kafir. Bagi seorang peniaga yang bertaqwa, mungkin dapat untung yang berlipat ganda.Atau wangnya terselamat kerana ada berkatnya. Keluarganya sentiasa sihat, keretanya jarang rosak, duitnya tidak mebazir dan sering tersalur ke arah amal jariah atau kepada berbagai kebajikan. Seorang pendakwah yang bertaqwa pula, ilham atau ideanya mencurah-curah, penyampaiannya berhikmah dan menarik, yang mendengar mudah lembut hati, yakin dan terdorong untuk beramal.
Pendakwah yang tidak bertaqwa, dia terpaksa memaksa diri untuk memerah otak mencari dan mengumpulkan bahan dakwah. Dia terasa sukar dan sering merasa jemu. Dakwahnya tidak menginsafkan orang dan tidak membawa perubahan kepada masyarakat.
Tetapi kalau di medan perjuangan dan tarbiah, Allah beri bantuan dengan cara lain pula. Antaranya:
1. Ilmu yang bermanfaat
Allah ilhamkan ilmu-ilmu yang bermanfaat yakni ilmu dalam cara menarik orang, ilmu dalam bertindak, ilmu untuk melaksanakan ekonomi Islam, menegakkan kilang-kilang Islam, sekolah Islam dan lain-lain ilmu praktikal untuk mewujudkan Islam dalam setiap aspek kehidupan.
Ilmu begini telah Allah kurniakan pada umat Islam zaman dahulu terutamanya para Sahabat dan para salafussoleh. Sebab itu, mereka boleh membangun dan menawan tiga perempat dunia. Bangunan yang dibina oleh umat Islam, istana Al Hambra di Sepanyol misalnya, tahan kukuh sehingga kini setelah berumur 700 tahun sedangkan binaan orang sekarang baru 20 tahun sudah roboh. Itulah ilmu ilham yang diberi Allah kepada orang soleh. Ilmu yang datang langsung dari Allah berdasarkan firman-Nya:
"Wattaqullaha wayua`limukumullahu"
Maksudnya: "Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu." (Al Baqarah:282)
Begitu juga sistem perairan dalam bangunan-bangunan yang di bina umat Islam 700 tahun dahulu. Hingga kini, pakar sains dan teknologi tidak mampu menirunya. Misalnya salah satu paip air dalam istana Al Hambra yang boleh mengeluarkan air dengan sendirinya bila masuk waktu sembahyang telah pernah diselidik olah orang Barat untuk mengetahui rahsianya. Hasil penyelidikan itu, paip itu rosak terus dan mereka tidak boleh memperbaikinya semula apatah lagi untuk membina paip yang baru. Itulah ketinggian teknologi orang soleh.
2. Ilmu Firasat
Iaitu rasa hati yang tepat hasil dari sifat taqwa. Ini amat perlu supaya pejuang Islam dapat bertindak tepat pada waktu dan ketikanya dalam menghadapi ragam musuh. Misalnya, musuh sudah siap sedia untuk menabur fitnah tentang kita. Maka Allah akan ilhamkan pada hati suatu tindakan yang boleh membuatkan musuh berhenti dari niat jahatnya, contohnya dengan menghantar surat kepada musuh bahawa kalau dia buat fitnah, kita akan dedahkan berita skandal mereka yang ada dalam simpanan kita. Misalan lain ialah bila musuh bercadang hendak mengambil tindakan mengacau kampung kita maka Allah akan ilhamkan supaya kita segera keluar dari kampung kita itu. Ilmu firasat juga penting untuk mendidik ahli-ahli yang berbeza-beza sifat mazmumahnya. Supaya semuanya dapat dididik untuk menjadi orang soleh dan bertaqwa.
Firasat dinamakan juga `kasyaf ilmu` atau rasa hati. Iaitu ilmu laduni atau ilham yang jatuh terus ke hati. Di situ tidak ada gangguan atau campurtangan nafsu dan akal. Firasat adalah ilmu dari langit. Orang yang ada firasat dikatakan muhaddasin (orang yang dibisikkan).
Firasat sangat tajam. Dengan firasat, seseorang itu boleh membaca hati orang. Dia boleh dapat ilmu yang menyegarkan hati dan jiwa. Firasat adalah untuk orang-orang yang sudah sampai ke tahap Rohul Muqaddasah (roh yang suci), Rohul Toyyibah (roh yang baik) dan Nafsun Zakiyyah (nafsu yang bersih).
Adapun kasyaf mata hati seperti nampak benda di sebalik tabir, nampak alam jin, nampak sifat-sifat haiwan yang ada pada manusia, nampak alam malaikat dan sebagainya, tidak ada nilai apa-apa, hanya nampak sahaja. Tidak dapat apa-apa ilmu. Orang kafir dan orang jahat pun boleh dapat kasyaf yang seperti ini.
Itulah ilmu firasat namanya, satu rasa hati yang kuat mendesak agar kita membuat sesuatu yang kadang kala di luar logik fikiran manusia. Ilmu inilah yang telah menguatkan perjuangan umat Islam dahulu. Mereka boleh serang musuh dengan cara yang membingungkan mereka. Mereka bertindak seolah-olah mereka tahu rancangan musuh. Sebab itu musuh tidak boleh buat apa-apa pada mereka.
Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan sabdanya:
"Ittaqu firosatul mukmin, fainnahu yanzuru binurillah".
Maksudnya: "Takutilah firasat orang mukmin kerana mereka melihat dari cahaya Allah." (Riwayat Tarmizi)
=== sekian ===
Tidak ada komentar:
Posting Komentar