Jumat, 15 Februari 2013

Kalau Umat Tidak Bertaqwa


Kalau umat tidak bertaqwa, mereka melupakan Tuhan. Mereka menganggap Tuhan tidak ada peranan dalam hidup mereka. Dalam masalah hidup mereka, mereka tidak merujuk kepada Tuhan.

Rasulullah SAW ada bersabda: "Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus. "

Ada Sahabat bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat?"

Sabda Rasulullah, "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut."

Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi macam buih di laut?"

Jawab Rasulullah, "Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan."

Sahabat bertanya pula, " Apakah itu Al Wahan?"

Rasulullah bersabda, "Cinta dunia dan takut mati."

Oleh kerana umat Islam cinta dunia maka Allah hukum sedikit demi sedikit. Allah tarik rasa cinta pada Allah. Apabila sudah tidak cinta Allah, maka terhakislah cinta terhadap yang lain. Hilang cinta sesama umat Islam. Hilang cinta sesama keluarga. Hilang cinta antara suami isteri. Hilang cinta antara ayah, ibu dan anak. Kerana cinta itu semua berpunca dari mencintai Allah. Cinta kepada Allah-lah yang menghidupkan cinta-cinta seperti itu. Bila cinta kepada Allah berpindah kepada cinta dunia, maka cinta-cinta seperti itu akan hilang. Oleh karena itu, hilang-lah persatuan dan kasih sayang.

Umat Islam takut mati. Takut mati ini ialah takut mati kerana Allah. Umat Islam masih berani mati kerana dunia, kerana perempuan, kerana glamour, kerana nama atau kerana negara. Maka Allah cabut rasa takut kepada Allah dari hati-hati umat Islam dan Allah ganti dengan bermacam-macam rasa takut yang lain. Takut tidak makan, takut miskin, takut hilang kerja, takut hilang jawatan, takut isteri, takut tidak ada masa depan dan sebagainya.

Akibatnya umat Islam hilang wibawa, hilang kekuatan, berpecah belah dan lemah. Umat Islam mundur di mana-mana, kalah dan terhina di mana-mana. Masalah inilah yang memeningkan para ulama dan pemimpin. Masing-masing tidak tahu kenapa umat Islam lemah dan terhina dan tidak tahu bagaimana untuk menjadikan umat Islam ini kuat. Oleh itu mereka hanya mencuba dan mengagak-agak. Buat cara trial and error.Walhal semuanya telah diterangkan dengan jelas melalui Hadis Rasulullah SAW.

Semua orang menganggap bahkan mereka yakin bahawa dunia ini dan manusia tidak akan selamat dan tidak akan bahagia kalau duit tidak cukup atau ilmu tidak tinggi atau jawatan tidak ada atau pangkat tidak tinggi atau pembangunan dan kemodenan tidak tercapai. Tegasnya kalau kita tidak tiru apa yang dibuat oleh Barat atau kita tidak menjadi seprti Barat, kita tidak akan selamat dan kita tidak akan bahagia. Maka berlumba-lumbalah kita mengejar Barat. Seluruh peralatan moden dan pembangunan dikerahkan ke arah tujuan itu. Semua menjadi yakin kalau kita menjadi seperti Barat, akan bahagialah dan akan senanglah hidup kita.

Hingga hari ini, sedikit banyak kita sudah membangun seperti yang kita kehendaki. Negara kita sudah lumanyan indah, berkat meniru pembangunan Yahudi dan Nasrani. Ekonomi kita pun seakan-akan sudah pulih, walau pun belum ada seorang umat Islam yang telah behasil membangunkan supermarket atau megamarket di mana-mana shopping centre di negara kita. Walaupun masih banyak kedai kedai orang pribumi di tepi-tepi jalan , ianya tidak kekal dan pendek umur. Walaupun ikan-ikan tangkapan nelayan kita banyak, ia masih menjadi sumber kekayaan orang tengah dan kaum kapitalis yang terus-menerus menghisap darah para nelayan. Dari segi ilmu, bolehlah dibanggakan memandangkan jumlah universitas yang kian bertambah dan warga yang bertitel sarjana bertambah ramai. Namun para sarjana itu tetap tidak bisa hidup kalau tidak diberi gaji. Yang tidak diberi kerja jadi bebanan pula pada negara. Mereka tetap tidak mampu berdikari untuk membina perusahaan, pembangunan dan perindustrian sendiri yang bebas dari makan gaji. Di samping itu, akhlak para lulusan tinggi tetap tidak jauh bedanya dengan akhlak orang yang berkelulusan rendah. Sikap mereka sama sahaja bahkan ada yang lebih parah lagi. pertanyaannya, hingga di tahap ini, adakah kita sudah mendapat masyarakat bahagia yang hidup penuh aman damai seperti yang kita idamkan.

Memandangkan pada gejala dan penyakit masyarakat yang bertimpa-timpa dan kian kronik dan masalah yang tidak habis-habis, tentu kita belum bisa mengatakan masyarakat kita sudah bahagia.Memang mungkin ada individu-individu atau keluarga yang bahagia, tetapi ini bukan mayoritas. Ini tidak melambangkan masyarakat. Secara umumnya orang-orang yang ada kuasa tidak bahagia kerana dilanda penyakit gila kuasa. Orang kaya pula tidak bahagia kerana penyakit gila dunia. Orang miskin tidak bahagia kerana sering rindu pada kekayaan dan harta. Ulama-ulama tidak bahagia kerana takut periuk nasi terancam. Ibu bapa hilang bahagia kerana anak derhaka. Guru tidak bahagia dengan perangai anak muridnya. Pemudi-pemudi tidak bahagia kerana sering diganggu dan takut jadi andartu. Pemuda hilang bahagia kerana susah hendak kahwin dan bermacam-macam lagi penyakit yang sedang merenggut kebahagiaan hidup semua golongan dalam masyarakat kita.

Dalam keadaan ini apakah peranan pembangunan, kemoderenan, ekonomi, jabatan dan ilmu yang tinggi yang diagung-agungkan tadi? Mampukah ia menyelesaikan segala masalah ini? Lihat di Barat! Kemoderenan hidup telah menghantar manusia ke kancah kehidupan yang derita, sengsara dan bergelora. Keinsanan dan kemanusiaan rosak. Manusia sudah hilang moral, keperibadian dan tatasusila. Kasih sayang tidak ada dan kejahatan berleluasa. Sebagai contoh, sudah ramai orang Barat yang lebih rela hidup berdua dengan anjing atau bertemankan kucing atau itik atau ayam daripada hidup dengan manusia lain. Kebahagiaan dengan sesama manusia sudah tidak ada. Kalau begitu, apalah erti segala pembangunan dan kemodenan yang dikejar itu?
=== bersambung ===

Tidak ada komentar:

Posting Komentar