Selasa, 19 Februari 2013

Ciri-ciri orang yang Taqwa


Di antara ciri-ciri orang yang taqwa adalah:
1.     Ingat dua perkara
2.     Lupa dua perkara
3.     Menyukai apa yang Allah suka
4.     Membenci apa yang Allah benci
1. Ingat Dua Perkara

a. Pertama : Kebaikan, jasa dan budi baik orang kepada kita perlu diingat selalu dan sekiranya berpeluang, maka akan disebut-sebut dan dibalas walaupun balasan itu tidak setimpal dengan jasa dan budi orang itu kepada kita. Itu terhadap kebaikan dan jasa manusia.

Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya.

Firman Allah SWT: " Waamma bini`matihi rabbika fahaddith ."

Maksudnya: "Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur)." (Adh Dhuha:11)

Ini supaya kita terasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang berbuat baik dan berjasa kepada kita. Tentulah terhadap Allah, lebih-lebih lagi patut kita merasakan sedemikian. Memang patut kita taat dan bersyukur kepada Allah, dengan mengerjakan amal kebajikan biarpun segala amalan itu tidak mungkin setimpal dengan kurniaan Allah.

b . Kedua : Kesalahan kita kepada orang lain hendaklah sentiasa kita ingat dan kita minta maaf daripadanya. Ingat selalu tentang kesalahan diri agar kesalahan itu tidak diulangi. Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf. Itu terhadap kesalahan kita terhadap sesama manusia.

Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dosa-dosa dan kederhakaan kita kepada Allah. Kita iringi ingatan kepada dosa-dosa itu dengan bertaubat. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar dari terbuat dosa-dosa yang lain dan hati kita sentiasa takut dan berharap agar Allah ampunkan dosa kita.

2. Lupa Dua Perkara
a. Pertama : Lupakan segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang. Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang. Kembalikan segala kebaikan yang kita buat itu kepada Allah. Rasakan seolah-olah kita tidak pernah berbuat baik kepada orang.

Lebih-lebih lagi, kita kena lupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kepada Allah. Jangan diungkit-ungkit atau dikenang-kenang. Rasakan seolah-olah kita tidak beramal. Dengan itu moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub, sum`ah atau riyak atau rasa diri baik dan mulia.

b. Kedua : Lupakan kejahatan orang terhadap diri kita. Anggaplah seolah-olah tidak ada siapa yang bersalah dengan kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang.

Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan dan ujian, musibah atau mala petaka yang Allah timpakan kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan. Atau banjir, kemarau, ribut taufan, tsunami, wabak penyakit, kemunduran ekonomi dan sebagainya. Supaya tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan Allah.

3 . Menyukai Apa Yang Allah Suka
Yakni kesukaan kita hendaklah sejalan dengan kesukaan Allah. Kita kerjakan apa saja perbuatan dan amalan menurut apa yang disukai Allah. Ini mudah kalau apa saja yang Allah suka, kita pun suka. Tidak masalah suatu amalan itu kecil atau besar, fardhu, wajib atau sunat tetapi asalkan Allah suka, kita pun suka dan kita pun memngerjakannya. Itulah cara kita hendak menghibur Allah. Itu manifestasi dari cinta kita yang mendalam kepada Allah. Seseorang itu akan menyukai apa saja yang disukai oleh orang yang dicintainya.

Masalah amalan fardhu, wajib atau sunat sudah tidak jadi pertimbangan. Semua amalan yang Allah suka akan kita kerjakan. Ia bukan juga masalah mendapat pahala atau fadhilat. Ia lebih kepada hasrat untuk menyatakan dan membuktikan cinta dan kehambaan kita kepada Tuhan.

4. Membenci Apa Yang Allah Benci
Yakni kebencian kita hendaklah sejalan dengan kebencian Allah. Kita tinggalkan apa saja perbuatan dan amalan menurut apa yang dibenci oleh Allah. Ini mudah kalau apa yang Allah benci, kita pun benci. Nafsu pasti mendorong untuk berbuat apa yang Allah benci kerana nafsu itu suka kepada apa yang Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka. Tetapi fitrah tetap kuat dan teguh. Fitrah yang suci murni itu, wataknya berlawanan dengan watak nafsu. Ia suka kepada apa yang Allah suka dan benci kepada apa yang Allah SWT benci. Nafsu tidak dapat mengalahkannya kerana rasa bertuhan dan rasa kehambaannya yang mendalam.
=== bersambung ===

Tidak ada komentar:

Posting Komentar