Mengamalkan Islam yang lahir itu, seperti sembahyang fardhu dan sunat, puasa, zakat, baca Quran, wirid dan zikir, tujuannya supaya kita menjadi orang yang bertaqwa. Namun kalau kita boleh beribadah seperti itu dua puluh empat jam sehari pun, yang kita akan dapat dari usaha itu hanya 10% sahaja dari nilai taqwa keseluruhannya. Tetapi untuk buat itu pun bukan mudah. Bukan mudah untuk bangun sembahyang malam, berpuasa, berzakat dan bersedekah, baca Quran dan wirid zikir. Untuk mendapat taqwa secara lahir itu pun amat susah.
Perlu diingat, seperti yang diterangkan sebelum ini bahawa 90% usaha taqwa yang tersirat yang bersifat maknawiyah dan rohaniah, itu lagi susah untuk diperolehi. Bukan senang hendak takut dengan Allah. Itu soal rohaniah. Ia bersifat rasa. Bukan senang hendak cinta Allah. Ia juga soal rohaniah. Lebih senang untuk kita cinta anak isteri dari cinta Allah.Bukan senang untuk rasa bertuhan. Bukan senang untuk bawa rasa bertuhan ke mana-mana. Bukan senang hendak bawa rasa bertuhan kalau tidak dididik dari tadika lagi. Kecualilah bagi orang yang Allah hendak anugerahkan rasa bertuhan itu. Tetapi berapa ramai orang yang begitu?
Bukan senang hendak terasa hebatnya Allah dan rasa diri kita tidak berguna. Waktu sembahyang untuk hati kita tersentuh dengan apa yang kita baca sehingga bergelombang hati kita tidaklah mudah. Bila disebut Allahu Akbar , ada sejenis rasa, bila disebut Alhamdulillah , ada satu rasa lagi. Berbagai ayat yang kita baca, berubah-ubah rasa kita. Ini bukan mudah. Soal lafaz lain. Soal rasa lain. Sedangkan 10% taqwa itu dari ibadah lahir manakala 90% adalah dari ibadah batiniah yang seperti ini yang ada rasa.
Tidak salah jadi orang kaya tetapi bukan mudah untuk tidak cinta harta dan kekayaan kita. Padahal Allah benarkan kita jadi kaya, hanya Allah tidak benarkan kita mencintai kekayaan kita itu. Mudahkah untuk rasa malu dan rasa tidak layak? Sepatutnya bila dapat jawatan, kita rasa malu dan menangis kerana rasa tidak layak dan takut kita akan lupa diri dan tidak pandai bersukur. Kerana kita tahu bahawa hakikatnya, jawatan itu dari Allah. Tetapi sebaliknya, kita rasa bangga dan rasa jadi tuan.
Kalaulah Allah hendak jadikan kita baik atau berilmu atau kaya, itu semua hak Allah. Tetapi kita dilarang lupa diri dan rasa diri kita baik atau berilmu atau kaya. Sepatutnya kita rasa malu dan tidak layak untuk semua itu. Katalah orang beri kita sebuah kereta Mercedes. Adakah depan orang yang memberi itu kita akan menunjuk-nunjuk dengan rasa megah, sombong dan seronok? Kalau kita rasa tidak layak, kita akan rasa malu, rendah diri dan tidak tentu arah di depan orang yang memberi itu.
Sebab itulah agama ini mesti bermula dari tadika. Dan hendak mendapat perasaan itu mestilah dari didikan sejak kecil. Bahkan kalau betul-betul hendak dapat taqwa, mesti sejak dalam kandungan ibu lagi. Ibu ayah mesti bertaqwa sebab perangai ibu dan ayah memberi kesan kepada anak dari waktu belum lahir lagi.
Dalam mengusahakan taqwa ini, yang luar kena buat tetapi priority nya ialah yang dalam. Jadi mengamalkan amalan Islam dengan tujuan hendak menjadi orang bertaqwa, yang lahir 10% sahaja, yang dalam 90%. Yang luar walaupun hebat, kalau yang dalam tidak ada, kita akan masuk Neraka sekiranya Allah tidak ampunkan kita.
Kalau Allah hendak menolong kita atas dasar lahiriah, Allah akan tolong setakat 10% sahaja. Tetapi atas dasar batiniah, 90%. Tetapi yang kita lihat, dalam hendak membangunkan ekonomi contohnya, soal lahir kita jaga sangat tetapi soal taqwa kita tidak jaga. Kita bermesyuarat dan kita usahakan macam mana hendak cari duit untuk buat modal, macam mana hendak cari dan latih tenaga dan sebagainya. Katalah yang lahir ini kita memang mahir dan bijak tetapi ianya hanya 10% sahaja dari bantuan Allah. Sebab di situ bukan line orang Islam. Itu line untuk orang kafir.
Orang kafir ada skim lain untuk dapat bantuan. Kalau dia usahakan maksimumnya yang lahir, dia akan dapat 90%. Tetapi bagi orang Islam, yang lahir Allah peruntukkan 10% sahaja. Itu kalau tidak dicabar dan digugat oleh Jepun, Yahudi, Korea, Amerika dan lain-lain. Kalau dicabar, mungkin tinggal 1% sahaja.Kita ada gelanggang sendiri yang tidak diperolehi oleh orang kafir. Gelanggang orang kafir, kita dapat 10% tetapi gelanggang kita 1% pun orang kafir tidak dapat. Dari gelanggang kita, kita boleh dapat lagi 90% iaitu kita bertaqwa. Kalau kita tahu hal ini, kita boleh cabar orang kafir.Sebab itu, apabila Rasululllah berjaya menanam yang luar dan yang batin pada para Sahabat yang asalnya hanya tahu menternak kambing dan tidak tahu membaca, dalam masa 23 tahun sahaja Islam jadi empayar. Kalau Rasulullah ada waktu ini, mungkin dalam 3 tahun sahaja Islam boleh jadi empayar.
Rasulullah mengambil masa 13 tahun di Mekah untuk menanam iman dan taqwa di hati para Sahabat. Selama sepuluh tahun kemudian, barulah baginda memulakan pembangunan negara Islam kecil yakni Madinah. Dibangunkan madrasah yang menjadi kilang untuk mengeluarkan para ilmuan yang bertaqwa sebagai penyambung dan pelapis perjuangan. Dibangunkan ekonomi dengan membuka pasar Ansar yang diuruskan oleh Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Begitulah perjuangan itu berkembang dan terus membesar hingga akhirnya 3/4 dunia menyerah diri kepada Islam. Semua itu bertolak dari taqwa.
Itulah perjuangan Islam yang dibuat oleh Rasulullah. Dan itulah satu-satunya cara yang benar dan tepat. Kenapa kita tidak mahu mencontohinya. Kenapa kita ada pandangan lain yang menyimpang dari apa yang dibuat oleh Rasulullah?
=== bersambung ===
Tidak ada komentar:
Posting Komentar